3 Februari 2019 (Ahad) : Buat julungkalinya telah diadakan di Dewan Bicara Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, telah diadakan Majlis Penyampaian Sijil Peguam Syarie (Peguam Baru) dan Sijil Amalan Guaman Syarie Negeri Johor Tahun 2019.

Majlis ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor dan Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Arif Dato Haji Amir Bin Haji Danuri, Ketua Hakim Syarie Negeri Johor. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Haji Md. Asri Bin Amir, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Yang Arif Tuan Haji Mohd Khaldun bin Mohd Sharif, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah, Haji Anoar Bin Sarimin, Kadi Besar Negeri Johor, Haji Zulfahmi bin Bunaim, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Johor, Pegawai-Pegawai Agama dari JAINJ, Jabatan Mufti Johor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Seramai 9 orang Peguam Syarie telah ditauliahkan pada tahun 2019 ini. Pada majlis tersebut 8 orang Peguam Syarie telah hadir menerima tauliah yang disampaikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie.

Pada majlis tersebut, antara lain Yang Amat Arif mengingatkan kepada Peguam Syarie yang menerima tauliah supaya senantiasa mendukung prinsip keadilan, tidak bersikap money oriented dan bersikap sesuai dengan jawatan sebagai Peguam Syarie untuk menjaga nama baik institusi kehakiman syariah, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Pihak Berkuasa Agama.