Pengenalan
Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) 2023–2027 merupakan dokumen hala tuju yang dirangka bagi memperkukuh peranan JAIJ sebagai institusi utama pentadbiran hal ehwal Islam di Negeri Johor. Berlandaskan sejarah penubuhan yang kukuh serta evolusi pentadbiran yang berterusan sejak lebih satu abad, pelan ini menjadi panduan terancang untuk memastikan JAIJ terus relevan, dinamik dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
Dengan mengambil kira perubahan landskap sosial, pembangunan teknologi, serta keperluan ummah yang semakin kompleks, pelan ini digubal melalui proses analisis yang teliti melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Berteraskan Maqasid Syariah sebagai asas utama, JAIJ komited untuk memperkasa sistem pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan Islam, pembangunan keluarga, institusi masjid serta pengurusan halal, agar selari dengan aspirasi Negeri Johor yang maju, harmoni dan sejahtera.
Dokumen ini bukan sekadar garis panduan strategik, bahkan merupakan manifestasi iltizam JAIJ untuk terus memelihara kesucian agama Islam, memperteguh perpaduan ummah dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan. Melalui strategi yang disusun rapi, Pelan Strategik JAIJ 2023–2027 diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat Islam yang berilmu, berakhlak dan berdaya maju demi kemaslahatan umat secara berterusan.


